Wacana pilihan

Saturday, February 21, 2009

Bangun wahai sahabatku


shabab...
hidup bukanlah satu permainan
hidup bukan untuk bersukaria
hidup juga bukan untuk mengejar dunia

ya shabab....
dunia ibarat neraka dunia
apakah kita mampu merempuhnya
adakah kita mempunyai bekalan untuk masa "hadapan"

ya shabab...
hari ini harapan diberikan
suatu hari nanti perjuangan perlu diteruskan
dunia islam perlukan kalian
apakah hanya kalian mahu membisu

wahai kalian....
ayuhhhhhh
bagun sahabt-sahabatku sekalian
jangan butakan hati dan mata kamu sahabatku
ini tanggungjawab semua
ayuhhh marah kehadapan
syahid jadikan matlamat
agar hidup mendapat berkat.



muhammad nazim hayazi
jbtn dakwah & pembangunan insan 2009

Sunday, February 15, 2009

MUSAWAH :
SATU LAGI SIRI UJIAN KEINTELEKTUALAN PENCINTA ISLAM

Ma’ruf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan program ‘Musawah’ bertemakan Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran Sisters in Islam (SIS), tidak akan menyelesaikan masalah akar umbi (real problem) kepada ketidakadilan yang menimpa kaum wanita dan keluarga Muslim di Malaysia. Pertikaian terbuka kepada beberapa hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang telah dipersetujui secara sepakat ulamak muktabar tanpa melalui jalan dialog ilmiyyah dengan sarjana-sarjana Islam tidak akan menyelesaikan segala doktrin hak asasi yang mereka perjuangkan.

Adalah satu tindakan terpuji jika kerajaan Malaysia bersedia memperbanyak wacana-wacana pemahaman Islam di Malaysia, namun apabila program seperti Musawah membabitkan kira-kira 200 aktivis liberalis tanpa seorangpun ulama Islam muktabar di Malaysia atau luar negara dijemput menjadi panel atau sekurang-kurangnya sebagai pemerhati, perasmian oleh Penasihat Khas Perdana Menteri adalah satu tindakan yang akan mengundang prejudis menebal kalangan pemikir-pemikir dan aktivis Islam terhadap motif kerajaan merestui program seperti ini.

Pepatah Arab menyebut bahawa manusia itu sentiasa bermusuh dengan perkara yang mereka jahilkan. Tokoh-tokoh pemikir Islam yang berani berdebat secara terbuka seperti Ahmad Deedat, Malcolm X, Shah Kirit Govindji di Malaysia dan ramai lagi seharusnya mengajar SIS untuk berani bersemuka dengan apa jua jaluran pemikiran yang wujud dari kalangan peserta andaikata mereka meyakini kebenaran di pihak mereka.
Sebagai mahasiswi Islam, banyak ketidakadilan, perceraian dan diskriminasi yang berlaku ke atas golongan wanita adalah disebabkan jauhnya manusia dari pedoman dan bimbingan Islam itu sendiri, bukannya kesalahan konsep dan hukum yang telah diberikan Tuhan. Banyak kajian dan temuramah terhadap mangsa yang dilakukan telah membuktikan hakikat ini. Ketahuilah, fakta sejarah Arab membuktikan layanan sistem Jahiliyah lebih dahsyat terhadap kaum hawa. Mereka tidak ubah seperti hamba yang mesti sujud pada kaum lelaki. Namun Islam datang memartabatkan wanita, mentamadunkan bangsa Arab yang bengis dan kasar itu. Cukuplah tudung memelihara maruah wanita daripada pandangan mata durjana manusia yang semakin ramai gilakan seks pada saat ini.

Kepada para pimpinan parti politik dan NGO Islam, program seperti Musawah hanyalah satu siri dari siri-siri ujian keintelektualan para pencinta Islam. Sekiranya pendekatan konfrontasi menjadi pilihan utama berbanding kesediaan menganjurkan sendiri dialog-dialog mengenai Syariah Islam, selagi itulah kelompok seperti SIS akan terus melihat kita sebagai entiti yang mesti dimusuhi dan tidak boleh didekati atau diajak berbincang. Para pencinta Islam mestilah pro-aktif, bukannya sekadar responsif mahupun defensif untuk memulakan sebarang perdebatan konstruktif, mengambil ruh al-Quran supaya dapat diresolusikan suatu pandangan yang “ahsan”, yang dapat dilihat dan diadili oleh masyarakat secara intelek. Fakta kenaikan kadar jenayah dan kekerasan terhadap wanita, keampuhan polisi-polisi kerajaan sedia ada dalam melindungi wanita dan kesejahteraan rumahtangga boleh menjadi titik yang mempertemukan antara kedua-dua belah pihak ini. Kita masih ingat suatu debat Gerakan Tajdid yang pernah diadakan membabitkan Astora Jabat dan Dr Asri Zainal Abidin. Sudah terhentikan semangat dialog dan debat seperti itu ?

Kelab Ma’ruf UIAM menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswa Islam untuk menjadi barisan hadapan pejuang agama yang berwibawa dalam sudut penentangan ghazwul fikri. Persatuan-persatuan mahasiswa Islam juga perlu bersedia menggalas tugas selaku front liner dalam kampus dengan memperbanyak dialog-dialog bersifat inter-faith dan mengharmonikan pertembungan dua jaluran pemikiran yang berbeza terhadap warga kampus. Kita perlulah mencontohi kewujudan Institute for the Study of Islamic Thought and Civilization (INSISTS) di Jakarta yang sangat digeruni oleh golongan Islam Liberal yang makin bermaharajela di Indonesia.

Pemikir Islam seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas telah menyatakan bahawa Islam mempunyai pandangan hidup yang jauh berbeza dengan pandangan hidup Barat. Pandangan hidup Barat meletakkan falsafah humanisme, rasionalisme, sekularisme sebagai asas peradaban mereka. Sedangkan falsafah-falsafah ini amat asing dan tidak perlu dalam konteks umat yang beragama Islam. Aktivis-aktivis mahasiswa Islam tidak boleh alpa dari membaca tulisan-tulisan cendikiawan penting yang telah memberikan penjelasan bernas dalam menangani konflik-konflik pertembungan pemikiran seperti Ahmad Deedat, Sheikh Yusuf Qardhawi, Tariq Ramadhan, Syed Mohamad Khatami, John Esposito, John Voll dan lain-lain. Segala konflik pemikiran janganlah diselesaikan dengan hanya mengambil perhitungan politik puak dan perkauman atau sentiman untung rugi pilihan raya semata-mata. Terokailah cara yang lebih bijak dan bertanggungjawab dengan menjuarai gelanggang-gelanggang ilmu dan pentas-pentas diskusi intelektual.


Nurul Syuhada Haji Shuib,
Timbalan Presiden 2,
Kelab Ma’ruf UIAM
(penulis juga adalah mahasiswi Kuliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim)
LAST_UPDATED2

Sunday, February 1, 2009

Apabila Endorgen Bersuara

Penuh sedar dan berani, itulah yang dapat diungkapkan terhadap Erdogan selepas memberikan tamparan yang mengejutkan buat Shimon Peres dan ia mengundang satu gelombang besar terhadap sikap dunia selama ini yang hanya retorik terhadap Israel.

Erdogan telah membenarkan kata-kata Saidina Umar:

"نحن قوم أعزنالله بالإسلام فاءن ابتغينا العزة فى غيره أذلنا الله"

Maksudnya : Kita adalah kaum yang diizzahkan Allah dengan Islam, maka barangsiapa yang memilih keizzhahan selain daripadanya maka Allah akan memberikannya kehinaan.

Semua pemimpin ummat Islam harus kembali segera mencontohi sikap tegas dan berani Erdogan. Nama beliau kini meniti di setiap bibir rakyat marhaen yang cintakan Islam dan keadilan. TV Al Quds menemui ramai penduduk Gaza dan ia memang tepat, pujian dan sanjungan sepenuh hati dari kalbu ummat Islam Palestine dimana-mana sahaja.

Erdogan menjadi wira dan suara baru bagi ummat Islam Palestine, setelah para pemimpin arab dan Islam lain gagal berbuat demikian.

"Presiden Peres awak lebih tua dari saya dan suara awak lebih nyaring,'' katanya kepada pemimpin Yahudi itu. ''Penyebab awak meninggikan suara adalah psikologi dari perasaan bersalah.

''Saya tidak akan meninggikan suara sebegitu. Apabila bercakap soal membunuh, awak lebih tahu bagaimana untuk membunuh. Saya amat maklum bagaimana anda menembak dan membunuh kanak-kanak di atas pantai,'' ujarnya pada Peres.

Dunia seolah-olah baru dikejutkan bahawa reaksi seorang pemimpin tertinggi sebuah negara ummat Islam amat berkesan untuk sebarang pendirian yang padu dan realistik. Sikap Erdogan mencermin hasrat kerajaan dan rakyat Turki bahkan amat tepat untuk untuk kita mengatakan bahawa beliau adalah wakil semua ummat Islam yang cintakan kedamaian di Gaza.

Renungi kata-kata Said bin Suwaid:

Islam memiliki dinding dan pintu yang kuat. Dinding Islam ialah kebenaran dan pintunya ialah keadilan.Islam akan tetap jaya, selama penguasa-penguasa bersikap keras dan tegas, tetapi itu dilakukan tidak bererti mesti dengan pedang dan cemeti, melainkan dengan hak dan keadilan.

Sikap Erdogan amat jelas dan terang, terlalu jelas untuk difahami mesejnya kepada Amerika dan Israel betapa ada lagi kuasa Islam yang tidak menjilat tapak kaki mereka untuk sebuah kekuasaan yang hina. Erdogan membuktikan beliau adalah anak jantan dalam mempertahankan hak dan keadilan sejagat.

Benarlah kata-kata Khalifah Umar al-Khattab:

Jangan engkau percaya melihat kegagahan seorang lelaki. Tetapi jika mereka teguh memegang amanah dan menahan tangannya daripada menganiayai sesamanya, itulah lelaki yang sebenarnya.

Ia adalah pengajaran penting buat negara-negara Arab yang selama ini sanggup mendiamkan diri terhadap kekejaman Israel menghukum rakyat Gaza atas nama memerangi pengganas HAMAS. Mesir sendiri lebih Yahudi dari yahudi. Menangkap, menghinjak, memukul setiap rakyatnya yang menyatakan perasaan marah terhadap serangan Israel. Setiap demonstrasi pasti akan menyaksikan ummat Islam Mesir ditangkap dan dihukum.

Pelik bukan! yang dimarahkan ialah Isarel, yang disokong ialah HAMAS, tetapi yang bertindak ialah kerajaan Mesir. Apa yang dibimbangkan sebenarnya, walhal rakyat tidak pernah menyentuh kerajaan dalam demonstrasi.

Bahkan amat pelik bagi seorang pemimpin negara ummat Islam jika mereka lemah untuk menyatakan bahawa tindakan Isreal itu adalah kezaliman. Bukan sahaja tidak berani menyatakan kezaliman Israel malah keadilan untuk ummat Palestine juga tiada dalam kepala mereka. Apakah yang mereka bimbang sebenarnya jikalau mereka bersikap adil dan memperjuangkan keadilan untuk Palestine atau mereka sendiri yang tidak mahu. Apakah mereka juga rela dengan kezaliman Israel, kalaulah begitu sikap mereka, ia tidak kurang sedikit pun dari Israel bahkan mereka lah yang lebih zalim dari Israel.

Perhatikan kata-kata Saidina Umar bin Al-Khatab:

Keadilan itu syurga bagi orang yang dizalimi tetapi keadilan itu adalah neraka bagi orang-orang yang bersifat zalim.

Tetapi itulah sikap sebahagian pemimpin negara ummat Islam yang boleh saya nyatakan. Pemimpin mereka lebih memikirkan akibat dan kepentingan diri dan survival politik sekiranya mereka menyatakan sikap sebenar Islam terhadap Amerika dan Israel. Anggapan mudah buat mereka ialah "Penakut Yang Bacul".

Maksud kata-kata saidina Ali:

Orang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan atau tindakan, sampai bila-bilapun dia tidak akan menjadi orang yang berani.

Yang pastinya ia tidak mencerminkan tindakan dan reaksi seiring rakyat dan pemerintah terhadap isu Palestin. Rakyat amat menyokong HAMAS selaku pejuang dan membantah tindakan Israel tetapi malang sebagai pemeritah tindakan dan sikap pemerintah tidak lebih daripada menjadi tangan dan kaki Israel dalam berhadapan dengan penentangnya.

Para pemimpin ummat Islam sedikit pun tidak membawa dan memperjuangkan inspirasi dan hasrat sebenar rakyat yang mereka pimpin. Sikap bebal itulah kezaliman yang tiada maaf, soalnya apakah mereka tidak takut dengan ancaman dan peringatan Allah terhadap tanggungjawab mereka sebagai pemimpin di akhirat kelak. Mereka sebenarnya tidak lebih dari menganiayai rakyat mereka sendiri

Perhatikan pesanan pemimpin agung ummat, Saidina Umar bin Al-Khatab:

Kalau engkau berasa berkuasa untuk membuat aniaya kepada hamba Allah, ingatlah pula bahawa Allah lebih berkuasa membalasnya.

Sebab itu saya yakin dan sedar menyatakan bahawa Erdogan adalah cerminan sebenar sikap ummat Islam seluruh dunia tetapi bukan kerajaan-kerajaan negara ummat Islam yang dikuasai oleh sekelompok manusia yang namanya Islam tetapi hatinya tidak.

Seruanku, wahai pemimin ummat hindarilah sifat takut dan lemah, bangunlah membela ummat ini dari kezaliman dan takutilah ancaman Allah bagi mereka yang memilih selain Islam sebagai penyelesaian.

Firman Allah :

“Dan barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.” (Ali Imran: 85)

Akhukum

Pejuang Kecil
I'bad Rahman, Hayyul A'syir, Kaherah Mesir.
10.25 pagi, 6 Safar 1430.