Wacana pilihan

Saturday, August 24, 2013

GST dilaksanakan kecuali 40 barang

40 Barang Keperluan Asas Dikecualikan Cukai Jika GST Dilaksanakan 
[Bernama] 40 barang akan dikecualikan jika GST dilaksana, kata Husni (kanan). Gambar fail.Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kira-kira 40 barangan keperluan asas, termasuk tepung, beras dan gula, akan dikecualikan daripada cukai sekiranya cukai barangan danperkhidmatan (GST) dilaksanakan.
Beliau berkata kajian mengenai perkara itu sedang dilaksanakan, dan rang undang-undang berhubung GST dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
"Kita sedang berbincang dengan NGO dan syarikat korporat sebelum keputusan mengenai GST diputuskan bagi mengambil kira kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Kampung Kuang Hilir, di sini hari ini.
Ahmad Husni berkata GST bukan cukai baru yang akan diperkenalkan, sebaliknya ia menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada.
"Sebanyak 170 negara telah melaksanakan GST, yang didapati lebih efisien dan moden, dan sudah terbukti meningkatkan ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata sekiranya GST dilaksanakan, pendapatan negara dijangka meningkat yang membolehkan kerajaan mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia, selain menurunkan kadar cukai korporat.
"Kita perlu lihat bagaimana hendak mengurangkan kadar cukai korporat supaya lebih ramai pelabur datang ke sini, sekali gus dapat merancakkan ekonomi negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.
Beliau berkata selain memberi manfaat kepada syarikat terlibat, pelaburan juga memberi kebaikan kepada banyak pihak.
"Bila kita melaksanakan satu pelaburan, bukan syarikat sahaja yang memperoleh keuntungan, malah pekerjanya juga akan mendapat keuntungan menerusi kenaikan gaji. Seperti rakyat yang menerima bantuan e-kasih, bantuan bulanan mereka juga akan meningkat," kata Ahmad Husni.
Mengenai Perundingan Belanjawan 2014, Ahmad Husni berkata ia telah selesai dilaksanakan, termasuk di Sabah dan Sarawak, baru-baru ini.
"Sabah dan Sarawak dari segi cabaran, ialah pembangunan jangka panjang di kedua-dua negeri itu dalam konteks ia mesti menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi atau pusat ekonomi, dan dengan itu infrastruktur perlu di berikan keutamaan," katanya. - 24 Ogos, 2013.
P/s: Beli baju kena cukai, beli tayar kena cukai, beli itu kena cukai, beli ini kena cukai. 
Terima kasih pengundi BN!

Pernah Hilang Dompet??

Pernah Hilang Dompet??

Pernah kehilangan dompet?

Aku ada dompet lama yang masih dipakai hingga sekarang. Dompet yang sudah hilang warnanya ini berjenama Camel - lebih banyak warna hitam, bertompok-tompok, walaupun warna asalnya ialah coklat cerah, mungkin kulit lembu dari Argentina atau Australia. Beberapa poketnya sudah koyak. Penarik zipnya sudah putus, semuanya ternganga saja bila dibuka. Tapi ia serasi dengan poket belakang seluar aku.

Nilainya RM99.00 waktu ia dibeli tahun 2005, di beli di Langkawi. Beberapa kali dompet ini tersalah letak. Puas mencari menyelongkar, berhenti mengingat, mencari lagi. Puas bertanya anak isteri di rumah, tanya kawan-kawan yang bermusafir bersama atau satu pejabat. 

Kata mak mertua, kalau dada berdebar kencang, dompet itu betul-betul hilang. Kalau cari tak jumpa-jumpa, tapi dada tak berdebar, dompet tu tak hilang, hanya salah letak. Cari lagi! Katanya.

Masa mula sedar dompet tiada dalam poket, perasaan bimbang menerpa. Tapi belum seberapa. Bila memikirkan apa yang ada dalam dompet, kebimbangan, penyesalan, kerunsingan dan rasa bersalah bertimpa-timpa.

Kalau dompet itu saja yang hilang, mungkin boleh diganti. Harganya hanya RM99.00, dapat gaji bulan depan aku beli yang baru, kulit juga. 

Namun, bila mengingat apa yang ada dalam dompet, kepala mula serabut. Kad pengenalan, lesen memandu, road tax motosikal, kad kredit, kad ATM Bank  Islam, kad keahlian PAS, resit-resit pembayaran ansuran bank, resit pembayaran bil telefon, resit top-up Touch n Go, simcard broadband, duit RM350, kad smile esso yang tak pernah ditebus bonusnya sejak 2005... Dan benda-benda kecil yang lain. Kepala makin serabut. Hati panas sejuk tak menentu.

Susahnya nak ke balai polis buat report, susahnya nak ke bank untuk buat kad ATM baru, renyahnya nak buat kad pengenalan baru.... Nak proses kad pengenalan baru, memakan masa, kena denda?

Apa jadi kalau hilang dan dijumpai oleh orang jahat. Kalau nombor pin yang pernah ditulis di dalam dompet itu belum terpadam, dan penjahat itu berurusan di ATM, langsailah duit yang ada di bank. Kad kredit mungkin digunakan di stesen minyak, kad pengenalan dicampak tempat dia merompak atau pecah rumah. Kad-kad lain lagi? Duit? Tak apalah duit tu kalau kad dan dokumen dipulangkan. Nilainya bukan RM350 lagi...sudah jadi beribu ribu jika diukur dengan kesulitan dan renyah yang terpaksa dilalui.

Hilangnya Kerajaan Negeri dan apa yang ada bersamanya terlalu besar untuk diukur dengan hilang dompet.  Hilangnya Fakulti Perubatan yang dijual kepada Mahsa College, hanya salah satu kad yang ada dalam 'dompet'.  Lenyaplah satu daya usaha besar, yang tak akan dijumpai semula. Tanah yang telah diumumkan kepada Sekolah-sekolah Agama dan sekolah-sekolah persendirian? Kafalah, bantuan IPT, Maahad Tahfiz Sains, jimat cermat...dan apa-apa yang belum disedari tersusun di dalamnyaa? ? Ooooooohhhh....besarnya kehilangan 'dompet' berjenama Kedah Sejahtera!

Dompet yang tersorok di bawah tempat duduk pemandu dalam kereta, telah ditemui semula. Semua dokumen dalam dompet buruk itu masih ada. Leganya hati.! Siapa-siapa yang 'menemui' dompet jenama 'Kedah Sejahtera' janganlah merobek apa yang diusahakan dengan pengorbanan besar dan susahpayah pemimpin terdahulu.... Belajar dulu mengenal nilainya....
 
sumber : sanusimdnor.blogspot.com