Wacana pilihan

Saturday, October 24, 2009

CERPEN MUHASABA

"Anakku, tahukah kamu, dengan apa kamu akan dimasukkan ke dalam syurga dan dengan apa kamu dijauhkan dari neraka?".

Guru melemparkan persoalan sulungnya dalam munaqasyah hari itu. Ribuan ulama yang hadir di kala itu dan mereka sedang bermuhasabah sesama mereka. Guru mengambil kesempatan untuk melihat sejauh manakah ketajaman makrifat saya kini.

Saya menjawab, "Dengan erti taqwa yang saya sembahkan kepada Allah, saya akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan dengan erti khauf saya dijauhkan dari sambaran api neraka, guru," saya menjawab dengan penuh keyakinan.

Guru menepuk bahu saya sambil menggeleng kepala. Ia bererti, jawapan saya salah. Zun Nun al-Misri datang dari
belakang seraya berkata, "Nampaknya, makrifat anak muda ini masih lemah. Ia menyangka ia memberi kepada Allah. Walhal ibadat yang ia lakukan bukanlah untuk Allah. Taqwanya bukanlah memberikan kebaikan kepada Allah," saya tidak faham apa yang dimaksudkan.



Guru kelihatan menyalami tangan Zun Nun al-Misri sambil menciumnya. Saya menuruti perbuatan guru. « Anakku, ingat pesan aku. Ibadah yang kamu lakukan sebenarnya hanya untuk dirimu. Taqwa itu hanya untuk dirimu. Khauf dan raja' itu juga untuk dirimu. Bukan untuk Allah, » ucapan al-Misri menggoncangkan jiwa saya.

Guru tersenyum. Al-Misri meneruskan bicaranya, « Ajarilah muridmu ini, bahawa dakwah juga tidak mampu mengubah manusia. Usrah dan tarbiah juga
tidak mampu memberikan apa-apa untuk Islam. Yang menjaga hati manusia dan membersihkannya hanyalah Allah. Kita hanya alat, » ujar al-Misri kemudiannya meninggalkan kami.

Saya kekeliruan. « Guru, telusnya, saya tidak memahami ungkapan al-Misri. Guru menarik saya merapatinya. Sambil guru berbisik, « Anakku, apakah layak taqwa kita yang cetek ini untuk memasukkan kita ke dalam syurgaNya yang seluas langit dan bumi ? Apakah mampu ketakutan yang kita sembahkan kepada Allah memadamkan neraka ? »

Saya terkedu.
Teringat satu kalam Allah yang berbentuk ancaman. "Hari yang mana Kami bertanya kepada Jahannam, masihkah ada ruang kosong? Jahannam bertanya balik, "Apakah masih ada manusia yang ingin dilemparkan ke dalamku."

Neraka ini tempat kotoran. Guru membuat tamsilan. Seolah-olah engkau merapatkan hidungmu ke dalam mangkuk tandas dan menjilat serta menggigit najisnya. Aduh, loya saya mendengarnya.

Seolah-olah, ambil tahi yang kotor dan dilumurkan ke muka engkau. Sanggupkah?

Bahkan
neraka jauh lebih teruk berbanding itu. Guru bertanya lagi, "Anakku, sudahkah kamu bersedia menghadapi kehidupan selepas kematian? Sudahkah kamu mendidik adik-adik usrahmu agar bersedia menghadapi saat-saat itu? Saat yang mana tiada guna kelantangan suara kamu menentang kezaliman sedangkan hati kamu kotor.

"Saat yang mana tiada guna perjuangan kamu
jika jiwa kamu penuh dengan daki-daki maksiat. Saat itu adalah saat untuk orang yang berhati bersih."

Sebagaimana firman Allah. Yang berhati bersih itu adalah yang takut kepada Allah ketika ia sendirian.

Guru bertanya lagi. "Apakah kamu pernah menitiskan air mata? Atau kamu hanya banyak ketawa. Anakku,
sesungguhnya Allah menyeru agar sedikitkan ketawa dan banyakkan menangis. Hati yang gelap itu mudah menerima kotoran maksiat. Bermakna hati kamu jika tidak dibersihkan, adalah ibarat tandas yang penuh dengan limpahan tahi."

Saya menangis mendengar kata-kata guru. Ia sangat menusuk hati. Saya tidak mampu lagi menahan esaknya.

"Anakku, Iman dan ilmu yang kamu miliki, tidak m
ampu memberikan kesan yang besar kepada Islam. Maafkan aku anakku. Aku melihat kamu kuat berjuang namun nafsumu sentiasa kecundang. Namun kamu menyangka kamu telah memberikan sumbangan yang besar kepada Islam. Kamu silap anakku."

Saya terus memeluk guru sambil memohon ampun kepadanya. "Anakku, jangan mohon ampun dariku. Mohonlah kepada Allah. Bukan hanya dengan solat taubat dan istighfar lidah. Sebaliknya dengan penuh perasaan kesal dan keazaman untuk tidak mengulanginya. "

Pejuang Islam sekarang menurut guru, kuat daya juangnya namun lemah ketahanan imannya. Lantang suaranya menentang kezaliman namu
n perlahan bisikan hatinya di lembah keimanan. Jasadnya sanggup bersusah payah bersama perjuangan rakyat namun nafsunya sentiasa ingin bersenang lenang.

Solat taubat. Bukan solat taubat yang mendekatkan kita kepada Allah. Tetapi keinginan kita ingin meninggalkan kotoran maksiat dan melakukan taat.

Saya kemudiannya merapati al-Sakandari untuk memohon petunjuknya. Guru yang meminta saya berbuat demikian.

Al-Sakandari melihat saya. Lalu ia menangis. Teringatlah saya kata guru. Jika kamu ngin melihat kepada orang yang sentiasa berasa dirinya penuh dengan maksiat, jiwanya jauh dari taat, maka lihatlah kepada al-Sakandari. Ia sentiasa merasakan dirinya pelaku dosa yang besar.

"Guru, berikanku pesan."

Al-Sakandari menangis. Ia meraung kuat. « Aduh, hari ini orang memohon nasihat dariku sedangkan diriku sendiri tenggelam dalam lautan kedurhakaan. Aduh, bagaimana hatiku ingin berkilau-kilauan dengan cahaya keimanan sedangkan bayangan duniawi selalu menyelimutiku, » ia pengsan dan saya tergamam.

http://dzulkhairi. blogspot. com

Thursday, October 22, 2009

apa itu COUPLE???

C.O.U.P.L.E. satu perkataan yang mempunyai banyak maksud, ada yang memahaminya sebagai pasangan sehidup semati ada yang memahami sahabat atau rakan karib. Kita dapat lihat "couple" dimana-mana sahaja setiap masa bermesraan tanpa mempunyai restu dari ibu bapa..... kita mesti memahami apa maksud COUPLE:
C = cabaran dunia
O = onak duri nafsu
U = ummu maksiat
P = perosak hidup
L = laluan ke neraka
E = enaknya dosa

Kita harus memahami maksud COUPLE dalam bermacam-macam bentuk, bagi sesetengah individu, couple memang salah dan harus dielakkan. Kita harus tahu coupling tidak salah dan mengikut kepada niat seseorang yang ingin bercouple itu. Jika ingin belajar kita mesti mempunyai pasangan dan segolongan pelajar lebih selesa belajar bersama orang yang tidak sejenis kerana mungkin kaum sejenis memilih........
Bagi saya couple tidak salah kerana memang benar ilmu lebih mudah untuk diterima kerana saya memang dapat melihatnya sendiri di sekolah saya. Remaja harus faham jika hanya belajar secara berpasangan tetapi tidak berusaha tak kan mendatangkan hasil. Saya ada satu permintaan kepada para pembaca, tahun ini saya akan menduduki PMR jadi saya ingin memohon sedikit bantuan para pembaca untuk mendoakan saya. Terima kasih.

status pendapatan dan gaji yang bercampur halal dan haram..bagaimana menyelesaikannya???


Seorang yang begitu prihatin terhadap halal dan haram di dalam kehidupannya telah bertanya kepada saya tentang status gajinya yang bercampur antara halal dan haram.Soalannya seperti berikut :

“Saya bekerja di sebuah syarikat pembinaan. Kebanyakan projek yang saya terlibat secara langsung adalah seperti membina shopping kompleks ,jambatan dan kondominium.Namun baru-baru ini saya dikejutkan yang syarikat saya telah terlibat dengan pembinaan sebuah gereja.Walaubagaimanapun saya tidak terlibat dengan projek tersebut. Persoalannya bagaimana dengan status rezeki saya kerana secara tidak langsung keuntungan dari projek pembinaan gereja tersebut mengalir ke akaun syarikat seterusnya ke gaji bulanan?”

Jawapan Para Ulama :

Pertamanya, secara jelas Islam benar-benar menitik beratkan permasalahan rezeki kepada umatnya.Seboleh-bolehnya bagi seseorang tersebut memastikan segala sumber yang diperolehnya daripada hasil pekerjaannya adalah halal di sisi Islam.Ini jelas di dalam hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam:

كل لحم نبت من حرام فالنار أولى به

Maksudnya: Setiap daging yang tumbuh daripada hasil yang haram maka nerakalah yang lebih layak baginya.

Perkara kedua yang patut kita sedari bersama, hakikat yang perlu kita terima ialah kebanyakkan harta yang ada pada zaman sekarang telah bercampur antara yang halal dan haram.Maka kalau kita berusaha mencari-cari sesuatu yang kita tidak ketahui pada dasarnya sesuatu perkara tersebut.Zahirnya kita melihat perkara itu halal, namun jika kita tetap juga mencari-cari sumbernya maka pastilah akhirnya natijah yang kita perolehi akan mengecewakan kita.Maka oleh kerana itulah Islam tidak membebankan umatnya untuk meneliti satu persatu secara detail sumber manakah dan daripada manakah perkara tersebut datang kerana ianya secara tidak langsung akan menatijahkan sesuatu yang pasti mengecewakan umatnya.

Contoh mudah saya dapat berikan ialah gaji para pegawai kerajaan.Kalau seorang pegawai kerajaan tersebut mengkaji semula daripada mana hasil gajinya diperolehi, maka jika diteliti pasti akan berakhir kepada Pihak Kerajaan itu sendiri.Manakala pihak kerajaan pula sudah kita sedia maklum yang mana hasil pendapatan negara bukanlah berasal daripada yang halal semata-mata.Terdapatnya penjualan arak, babi, pelacuran, korupsi dan sebagainya.Maka jika diteliti sedemikian rupa maka tiadalah orang yang akan mendapat harta yang halal secara seratus peratus.

Oleh kerana itulah Islam tidak menyusahkan umatnya untuk meneliti sesuatu sehingga menjerumuskan dirinya kepada kebinasaan.Apa yang perlu dilakukan ialah cukup baginya melihat apa yang ada di depan mata.Jika apa yang diambilnya berdasarkan kerjanya yang halal maka halallah hukumnya dan jika yang diambilnya haram, maka haramlah hukumnya.

Perkara ini diakui sendiri oleh al-Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin jilid ke 2 mukasurat 93 seperti yang dinukilkan oleh Guru Kami yang mulia Syaikhuna al-Allamah Atiyah Saqr rahimahullah.

Al-Imam al-Ghazali rahimahullah menyebutkan: Jika bercampur antara harta yang halal dengan harta yang haram dan kedua-duanya tidak dapat dibezakan maka tidaklah bermasalah untuk kita menggunakannya.Ini adalah seperti harta yang diperolehi pada zaman kita sekarang(maksudnya pada zaman al-Imam Ghazali rahimahullah yang wafat pada tahun 505 hijriyah itu sendiri telah berlaku percampuran harta yang halal dan haram , apatah lagi zaman yang lebih teruk seperti sekarang?).

Kata al-Imam lagi: Jika harta tersebut dapat dipastikan mana satu yang halal dan mana satu yang haram maka wajiblah menjauhi perkara yang haram tersebut.

Berbalik kepada persoalan yang dilemparkan kepada saya oleh penanya yang prihatin tersebut , maka jelas perkerjaan yang dilakukannya adalah halal kerana dia hanya mengambil daripada pekerjaannya yang halal.Manakala pihak syarikat yang mencampurkan urusan halal dan haram tersebut dengan melaksanakan projek pembinaan gereja.Moga-moga ini tidaklah akan dipersoalkan oleh Allah taala kepada saudara yang prihatin kerana saudara tidak langsung teribat di dalam pembinaannya.

KESIMPULANNYA

Saya hamba Allah taala yang faqir di dalam ilmu ini cuma dapat memberikan jalan penyelesaiannya secara cadangan.Jika saudara yang bertanya boleh untuk mencari pekerjaan lain selain daripada bekerja dengan syarikat tersebut maka itu sangat-sangat digalakkan.

Tetapi jika terlalu sukar untuk mencari pekerjaan pada zaman sekarang, yang akan menyebabkan saudara tidak akan dapat memberikan sara hidup yang baik kepada keluarga saudara maka teruskanlah bekerja di syarikat tersebut dan elakkan daripada melaksanakan atau membantu projek-projek yang terlibat dengan perkara yang diharamkan Syarak.

Berkenaan gaji saudara, jika dapat saudara bezakan dari segi peratusnya mana yang halal dan mana yang haram maka keluarkanlah yang haram tersebut daripada perbelanjaan keluarga saudara dengan cara memberi sedekah kepada faqir miskin , pembinaan pusat pengajian dan sebagainya.

Sebaiknya, setiap bulan saudara keluarkan jumlah tertentu daripada gaji saudara yang tidak membebankan saudara sebagai sedekah kepada golongan yang memerlukan.Moga Allah taala menjaga kita semua daripada kerosakan yang berlaku pada zaman sekarang.Amin Ya Rabbal A’lamin.

Rujukan:

1.Fatawa Ahsanul Kalam oleh Syaikhuna al-Allamah Atiyah Saqr rahimahullah jilid 2 mukasurat 68-71 cetakan Maktabah Taufiqiyah , Kaherah Mesir.

sumber:

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syarif,
Kaherah, Mesir