
Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Abi Bakr bin Ayub bin Sa’ad bin Haris Az-Zar’i Ad-Dimasqy Abu Abdullah Syamsuddin. Laqabnya ialah Syamsuddin manakala kunyahnya ialah Abu Abdillah. Beliau juga lebih dikenali dengan panggilan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Ayahnya pembangun kampung al-Jauziyah dan ketua kepada madrasah al-Jauziyah, serta guru di sekolah ash-Shadariyah. Beliau dilahirkan pada tahun 691 H dan wafat pada 23 Rejab 751 H, beliau lahir dan wafat di Damaskus. Beliau berasal dari sebuah keluarga yang terhormat yang berilmu dan berharta, ayahnya seorang guru yang mengajar Ibnu Qayyim dan juga mempengaruhinya.
Ibnu Qayyim adalah salah seorang tokoh reformasi Islam. Para ulama mengakuinya sebagai orang yang kaya dan berilmu. Beliau berminat pada bidang hadis dan seluruh ilmu hadis, fiqh, syariah, ilmu kalam, tasawuf, bahasa arab dan nahu. Ibnu Qayyim merupakan anak murid Ibnu Taimiyah yang sangat menyayangi dan selalu bersama gurunya, mendukung pendapat-pendapatnya, namun kadangkala beliau berdebat tentang beberapa pendapat gurunya. Beliau juga mengajarkan buku-buku karangan Ibnu Taimiyah dan menyebarkan ilmunya.
Ibnu Qayyim al-Jauziyah pernah ditimpa musibah seperti yang dialami oleh Ibnu Taimiyah. Mereka sama-sama dipenjarakan di benteng Damaskus setelah ditarik dengan seekor unta yang dipukul dengan tongkat. Beliau menghabiskan masa-masa di penjara dengan beribadah, membaca al-Quran, merenung dan berfikir. Malangnya, beliau tidak pernah dikeluarkan dari penjara melainkan setelah kematian Ibnu Taimiyah.
Ibnu Qayyim seorang yang berakhlak mulia dan disayangi oleh ramai orang. Keperibadiannya sangat berbeza dengan Ibnu Taimiyah. Gurunya seorang yang emosional, keras kepala dan suka menentang, sementara Ibnu Qayyim seorang yang tenang, berjiwa stabil dan lebih cenderung untuk berdialog dan memberikan jawapan yang rasional dan memuaskan kepada orang lain.
Matlamat terpenting Ibnu Qayyim al-Jauziyah adalah seruan untuk kembali kepada mazhab salaf yang mencerminkan Islam sebagai agama yang bebas dari pelbagai pendapat yang menyimpang. Namun begitu, beliau sangat menitikberatkan prinsip kebebasan berfikir, menentang taklid buta, mengajak semua orang agar memahami syariah dan mengamalkan ajaran agama berdasarkan syariah.
Manusia menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah
Penelitian terhadap pemikiran-pemikiran Ibnu Qayyim mengenai tabiat manusia menjelaskan bahawa diri manusia mempunyai beberapa unsur yang saling berkaitan dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Beberapa unsur penciptaan manusia yang dimaksudkan adalah ; roh, akal dan jasad. Oleh sebab itu, unsur roh yang terdapat dalam diri manusia mestilah dipenuhi keperluannya, iaitu dengan cara selalu diperhatikan, dibimbing dan dibina. Keperluan akal juga mesti dipenuhi dengan memberi nasihat-nasihat yang baik, keperluan jasad dan tuntutannya juga hendaklah dipenuhi kerana ia adalah wadah yang menampung roh dan akal.
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah Rahimallah dalam manhaj tarbiyahnya melihat hakikat manusia dengan pandangan yang sempurna dan menyeluruh, pada pandangan beliau manusia adalah perpaduan antara roh, akal dan jasad.
Karya-karyanya
Ibnu Qayyim memiliki banyak karangan di bidang fiqh, usul, tasawuf, ilmu kalam dan sirah. Beliau seorang yang berwawasan luas mencintai semua ilmu yang terkenal pada saat hidupnya. Beberapa karangannya yang berkaitan dengan psikologi :
1. Ar-Ruh. Ditahkikkan dan dikaji oleh Sayyid Jamili, cetakan kedua, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi, 1406/1986.
2. Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maudud. Ditahkikkan oleh Abdul Qadir al-Arnauth, Damaskus: Maktabah Dar al-Bayan, 1391/1971.
3. Miftah Dar as-Sa’adah. Sebanyak dua juz yang disusun dalam satu jilid, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah.
4. Raudhat al-Muhibbin wa Nuzhat al-Musytaqin, Kairo: Dar al-Fikr al-‘Arabi.
5. Thariq al-Hijratain wa Bab as-Sa’adatain, Beirut: Dar Maktabah al-Hayat,1980.
6. Risalah fi Amradh al-Qulub. Ditahkikkan oleh Muhammad Hamid al-Faqi, Riyadh: Dar Thayyibah,1403 H.
Asal Kejadian Manusia
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah Rahimallah manusia itu memiliki beberapa keistimewaan dan keunikan yang membezakan dan melebihkannya dari semua makhluk yang lain. Keunikan dan keistimewaan itu ialah :
1. Bahan asas penciptaannya adalah tanah dan proses awal penciptaannya adalah dari air mani yang hina. Beliau berkata, “ Proses awal penciptaan manusia adalah dari saripati tanah kemudian menjadi setitis air yang hina, iaitu air sperma yang terpancar dari seluruh badan..” sebagaimana firman Allah s.w.t,
Maksudnya : “ Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;, Kemudian kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh. ” ( Al-Mukminuun :12-13 )
2. Sesungguhnya manusia diciptakan dari inti bumi yang mengandungi beberapa sifat iaitu sifat baik dan buruk, bahagia dan sedih, mulia dan hina. Perkara ini dapat diperhatikan ketika Allah s.w.t hendak mengutus Jibril Alahi Salam untuk turun ke bumi, dia mengambil segenggam tanah, kemudian mengadunnya hingga menjadi tanah liat. Lalu membentuknya, kemudian ditiupkan ke dalamnya roh yang menghidupkan. Setelah ditiupkan roh ke dalamnya ia berubah menjadi daging yang berbungkus dan mengalir darah padanya, hingga akhirnya ia menjadi makhluk hidup yang berbicara.
Proses ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan manusia, Ibnu Qayyim berkata dalam sebuah kitabnya, “ Cukuplah yang mengistimewakan manusia dari makhluk-makhluk Allah lainnya yang bertebaran dimuka bumi adalah kerana Allah s.w.t telah menciptakannya dengan tangannya, meniupkan ke dalamnya roh-Nya dan memerintahkan semua malaikat agar sujud kepadanya, serta mengajarkan kepadanya nama-nama dari semua makhluk-Nya ”.
3. Manusia adalah makhluk yang paling dimuliakan Allah s.w.t dengan dikurniakan akal, ilmu dan kemampuan berbicara, memahami dan menjelaskan serta diciptakan dalam bentuk yang sangat baik dengan penuh keseimbangan dalam bentuk tubuhnya. Manusia juga diberi kemampuan untuk berfikir dan memiliki akhlak dalam kehidupannya. Ibnu Qayyim menyatakan bahawa yang membezakan manusia dari makhluk Allah s.w.t yang lain ialah kemampuan manusia bercakap.
Allah s.w.t telah menganugerahkan manusia akal, ilmu, bayan( kemampuan menjelaskan / berkomunikasi ), bentuk tubuh yang baik dan seimbang, kedudukan yang mulia, kemampuan berfikir dan menganalisa sesuatu, serta memiliki akhlak yang mulia berupa Al-Birr ( perbuatan yang baik ), ketaatan dan kepatuhan kepada Allah s.w.t.
4. Manusia diberi kelebihan oleh Allah s.w.t dengan kurniaan sifat malu. Beliau berkata “ Perhatikanlah satu sifat yang hanya dikurniakan Alla s.w.t kepada manusia dan bukan makhluk yang lain, iaitu sifat malu ”.
5. Manusia dianugerahkan dengan dua alat komunikasi iaitu lisan yang digunakan untuk bercakap dan jari jemari yang digunakan untuk menulis.
Beliau berkata : “ perhtikanlah nikmat Allah s.w.t kepada manusia iaitu dua alat komunikasi : lisan dan tulisan, sesungguhnya kedua-dua itu merupakan nikmat Allah yang diberikan kepada hambanya…”
6. Keistimewaan manusia lagi berbanding makhluk tuhan yang lain ialah kemampuan untuk belajar dengan alat bantuan yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada manusia.
Beliau berkata : “ siapakah yang memberi akal kepada manusia untuk berfikir, lisan untuk berkomunikasi, jari jemari untuk menulis dan siapa yang merancang akal manusia sehingga mampu digunakan untuk belajar, sedangkan binatang tidak diberi rahmat seperti itu? Dan siapakah yang menggerakkan lisannya dan jari jemarinya sehingga manusia mampu bercakap dan menulis? Siapakah yang menopang jari jemari dengan telapak tangan dan telapak tangan dengan hasta? Siapa lagi kalau bukan Allah s.w.t?, tetapi betapa banyak ayat-ayatNya yang kita lalaikan.
7. Manusia berbeza dengan makhluk yang lain kerana adanya motivasi dan kecenderungan jiwa untuk bekerja dalam menggalas tugas-tugas sebagai hamba.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Qayyim Rahimahullah : “ sesungguhnya hikmah maha kelembutan dan maha kebijaksanaan-Nya benar-benar telah merasuk ke dalam jiwa manusia, ketika dia menganugerahkan kepada mereka kecenderungan dan motivasi yang selalu mendorongnya untuk berbuat sesuatu yang akan membawanya kepada kejujuran, kebaikan dan kemaslahatan hidupnya.”
8. Manusia mempunyai kelebihan dari makhluk yang lain keran terdapat tiga unsur di dalam jiwanya iaitu kekuatan, syahwat dan iradah( kecenderungan yang baik ).
Berkata Ibnu Qayyim : “ sesungguhnya Allah s.w.t telah memantapkan tiga unsur dalam jiwa manusia : kekuatan, nafsu dan iradah. Penyatuan tiga unsur ini akan membentuk sebuah kekuatan yang hebat, yang akan menggerakkannya untuk sentiasa berusaha mencari sesuatu yang berfaedah bagi dirinya dan menghindari setiap perkara yang membahayakan jiwanya atau jiwa orang lain yang telah membantunya.”
9. Perjalanan hidup( umur ) manusia selalu berubah seiring dengan fasa perkembangannya. Sebagaimana yang dikatakan oleh beliau : “ hari-hari yang dilalui manusia berperingkat-peringkat : peringkat yang pertama adalah hari yang berjumlah tujuh hari atau satu minggu. Ketika ia telah melalui sejumlah hari yang tertentu, ia akan beralih ke peringkat yang kedua, iaitu bulan dan jika bulan-bulan telah dilalui ia berpindah ke peringkat ketiga iaitu tahun.”
Beliau telah memperincikan tentang perjalanan umur manusia ini. Beliau mengatakan bahawa manusia ini melalui tujuh fasa : pertama, fasa bayi sehingga umur tujuh tahun, kedua, fasa kanak-kanak sehingga umur empat belas tahun, ketiga, fasa remaja, keempat, fasa dewasa( pemuda ), kelima, fasa dewasa pertengahan( umur 30an-50an ), keenam fasa tua, ketujuh fasa akhir hingga penghabisan umur( mati ).”
10. Perintah-perintah Alla s.w.t tidak pernah terlepas dari diri manusia sejak ia masih berbentuk janin dalam rahim ibu sehingga akhir hayatnya.
Beliau berkata : “ telah diturunkan kepada manusia perintah-perintahNya baik yang bersifat qadariyah( takdir ) ketika manusia masih dalam janin, atau perintahNya yang bersifat taklifiyah( kewajipan ) setelah itu ia keluar dari rahim seorang ibu. Walaubagaimanapun, ketika ia masih dalam fasa anak-anak( belum baligh ) perintah-perintah itu diamanahkan kepada kedua orang tuanya dan merekalah yang bertanggungjawab atas pendidikannya, dan apabila manusia itu sudah baligh, mereka akan menggalas perintah-perintahNya.
11. Sesungguhnya manusia itu tidak diciptakan dengan sia-sia. Firman Allah s.w.t,
Maksudnya : “ Patutkah manusia menyangka, Bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?. Bukankah ia berasal dari air mani Yang dipancarkan (ke Dalam rahim)?. Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?” ( Al-Qiyamah : 36-38 )
Kewujudan Manusia.
Menurut Ibnu Qayyim Rahimahullah, hakikat kewujudan manusia itu ada pada roh dan hatinya bukan pada jasad dan badannya. Tetapi hakikat manusia itu berada dalam bangunan dzat yang satu dan berpadu di dalamnya beberapa unsur yang saling berkaitan. Firman Allah s.w.t :
Maksudnya : “ Tuhan Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan Yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan Dengan kekuatannya; Dalam bentuk dan rupa apa sahaja Yang dikehendakiNya, ia menyusun kejadianmu.” ( Al-Infithaar : 7-8 )
Allah s.w.t telah menciptakan dan menyempurnakan jiwa manusia sebagaimana Dia telah menciptakan tubuhnya, bahkan Dia menciptakan tubuh manusia sebagai wadah bagi rohnya. Beliau berkata : “ sesungguhnya akal adalah raja, sedangkan badan, roh, seluruh indera dan anggota badan adalah rakyatnya, maka apabila sang raja ini lemah, ia tidak akan mampu membina rakyatnya, maka akan timbullah kepincangan dan kerosakan di dalam tubuh seluruh rakyatnya.”
No comments:
Post a Comment