KUALA LUMPUR 22 Feb. - Datin Seri Dr. Wan Azizah
Wan Ismail didesak menyatakan pendiriannya berhubung spekulasi penolakan
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri oleh Majlis Syura
Ulama Pas seandainya pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 nanti.
Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah
Abdullah berkata, sikap mengunci mulut Presiden PKR itu menimbulkan
tanda tanya dalam kalangan ahli PKR dan seluruh rakyat Malaysia.
"Selaku Presiden PKR, kedudukan Wan Azizah dalam parti cukup besar,
setanding Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Ini bukan persoalan rumahtangga, ini soal parti. Mengapa Wan Azizah
takut untuk bersuara. Diam, senyap seolah-olah tidak wujud lagi.
"Kalau dia takut, dia takut pada siapa, adakah Anwar? Kenapa perlu
takut Anwar, sedangkan kedudukan beliau dalam parti cukup tinggi,"
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau membuat kenyataan tersebut ekoran sikap Wan Azizah yang
mendiamkan seribu bahasa berhubung pelbagai isu yang berbangkit sejak
kebelakangan ini.
Katanya, sikap Wan Azizah itu cukup menghairankan seolah-olah beliau tidak lagi berada dalam radar politik.
"Bukan isu Anwar sahaja, malah, Presiden PKR itu langsung tidak
mengulas atau menyatakan pendirian dalam isu kalimah Allah, pluralisme,
dakwaan skandal Shamsidar Taharin serta lesbian, gay, biseksual dan
transeksual (LGBT)," tegasnya.
Secara sinis, Aminah berkata, sikap Wan Azizah yang tidak
mempertahankan Anwar dalam spekulasi berhubung keputusan Majlis Syura
itu cukup luar biasa.
"Kalau sebelum ini beliau boleh mempertahankan Anwar dengan
menyatakan Anwar adalah anugerah Allah kepada rakyat Malaysia kenapa
kali ini tidak membuat perkara sama kepada Majlis Syura?
"Saya secara peribadi tertunggu-tunggu kalau Wan Azizah akan
mempertahankan suaminya dengan membuat kenyataan Anwar adalah manusia
paling bersih di negara ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment