Bekas naib presiden Telekom Malaysia Bhd Dr Mazlan Ismail yang dipilih
sebagai calon Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Permatang Pauh,
yakin mampu menggugat kedudukan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Saya akan dedahkan kepincangan dalam pakatan pembangkang (PR) yang diterajui Anwar," katanya.
"Saya
bekas naib ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, dan pernah menjadi
Pengarah PRU PAS negeri pada PRU 1999 dan 2004, dan saya yakin
pengalaman itu dapat menjadi bekalan dalam menempuh perjuangan politik
di Permatang Pauh.
"Insya-Allah, saya yakin menang, dan telah
bersedia berkhidmat untuk masyarakat sebagai ahli politik sepenuh masa,"
katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
Mazlan, 53,
berkata menerusi sokongan padu jentera BN dan strategi rapi yang telah
diatur sejak tiga bulan lepas, beliau yakin dapat menggugat kedudukan
Anwar dalam mempertahan kerusi parlimen itu.
Mazlan berkata
sebagai anak tempatan, beliau tidak mempunyai masalah untuk bertemu
penduduk dan pengundi di kawasan Permatang Pauh, malah sudah berbuat
demikian ketika menyokong parti pembangkang sebelum ini.
Anak
tempatan Permatang Pauh itu memiliki Ijazah Komunikasi Elektronik dari
University of Salford United Kingdom (UK) dan PhD dalam Intelectual
Capital Management dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
"Walaupun
ia merupakan kali pertama saya bertanding pada pilihan raya, namun
sokongan peringkat akar umbi BN telah memberikan motivasi kepada saya
untuk tidak rasa takut dengan populariti Anwar," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment