Catatan sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali
ini. Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih
punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal
Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah
Harakah Islamiyyah.
Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik
Presiden PAS menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi
Ustaz Azizan petang nanti, jam 3.30. Hati dan perasaan segera lega dan
gembira. Presiden PAS yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat
terbatas, akan meluangkan masa sekali lagi, membuat perjalanan jauh,
menziarahi sahabat seperjuangan yang sedang mengalami saat-saat sukar
dalam hidupnya.
Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke
wad. Dia segak berjubah hitam berbutang hingga ke bawah, berserban
seperti selalu. Wajahnya berseri walaupun nampak penat dengan
kesibukannya. Pak Cop dan beberapa kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu
wad ICU. Dia memberi salam kepada beberapa pengunjung di koridor, terus
melangkah laju terus ke bilik Ustaz Azizan.
Assalamualaikum!
Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh anaknya Solehah, "Ayah!
Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak berseri, bola matanya
meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu. Ustaz tidak mampu
berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip masih menyekat
suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk menjawab
salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras dada,
seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.
"Bersabarlah,
bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang
bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH
sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka
bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana datang nak
bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan
nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas
kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan
membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan
mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya.
Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.
TGHH
memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh
disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu
teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis
laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam
pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi,
Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid, Doktor dan jururawat turut menangis
menekupkan mulut dengan tangan.
TGHH memegang dahi Ustaz Azizan
yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH
mengeluarkan kalimat ini..."Bersabarlah... kerja keras anta selama lima
tahun pasti Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi
khalifah selama dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta
sempat juga 5 tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah
dan teruskan bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan,
tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung
rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.
"Ana akan
ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada
sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk,
matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku
segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff
Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey.
Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.
Ustaz Azizan
mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas
dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat
di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor
tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua
akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.
"Ana
minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz
Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip
dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia
menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang
terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam
esakkan.
TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya
sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak
kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin
mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang
menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.
Demikianlah
kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana
Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci ini.
Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu
tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun,
kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu
bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air
mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.
*Penulis adalah bekas Setiausaha Politik kepada Ustaz Azizan Abdul Razak

No comments:
Post a Comment